11 Julai 2017 - 08:56
Integriti Wilayah Syria Perlu Kekal: Wakil PBB

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Syria, Staffan de Mistura menegaskan bahawa integriti wilayah Syria perlu dikekalkan di sebalik proses nyah-ketegangan yang sedang berjalan di negara Arab itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Syria, Staffan de Mistura menegaskan bahawa integriti wilayah Syria perlu dikekalkan di sebalik proses nyah-ketegangan yang sedang berjalan di negara Arab itu.

De Mistura membuat komen tersebut di dalam sidang akhbar yang berlangsung di luar rundingan damai Syria yang dianjurkan di Geneva pada hari Isnin.

Beliau turut mengatakan bahawa rundingan sedang dibuat di Amman dalam rangka memantau gencatan senjata yang diusahakan oleh Washington-Moscow di barat daya Syria.

Perjanjian gencatan senjata tiga hala itu diumumkan pada hari Jumaat selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin bertemu dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Donald Trump di luar persidangan G20 yang berlangsung di Hamburg, Jerman.

"Apabila dua negara kuasa dunia... secara asasnya bersetuju untuk mengusahakan gencatan senjata pada peringkat tersebut, wujud peluang yang tinggi bahawa perkara itu akan diteruskan," katanya.

De Mistura turut berkata bahawa pusingan terbaharu rundingan Astana yang berlangsung di ibu negara Kazakhstan pada minggu lepas telah memberikan natijah yang baik.

Pusingan terakhir rundingan Geneva yang dianjurkan oleh PBB berlangsung pada Mei lalu dan rundingan itu tidak memberikan hasil sebaik rundingan Astana yang diterajui oleh Rusia, Iran dan Turki. -ABNA24

/315